Merakamkan Gambar Terbaik Dengan Kamera DSLR Anda

Pastinya anda bersetuju bahawa imej yang anda ingin dirakamkan dengan kamera anda sepatutnya dihasilkan sebagaimana pandangan mata anda melihatnya atau otak anda menggambarkannya. Tetapi kerap juga ia tidak berlaku seperti sepatutnya. Gambar yang dirakamkan berwarna pudar, komposisi yang tidak menarik, ketajaman yang kabur, kontras pencahayaan yang lemah dan sebagainya. Anda akan terus kecewa jika ia terus berlaku dan anda akan  meninggalkan kamera anda dalam tempoh masa yang lama.

Adakah ia disebabkan oleh kamera anda atau anda sendiri? Pada pandangan saya, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja bahkan kepada jurufoto pro. Juga ia boleh berlaku disebabkan oleh kamera yang anda gunakan. Namun anda tidak perlu berputus asa kerana mempelajari bidang jurufoto adalah berterusan dan berpanjangan. Sentiasa belajar mengenai teknik mengambil gambar adalah satu keperluan utama jika anda serius untuk menjadi jurufoto yang terbaik, tidak kira bentuk atau jenama kamera anda.

Ramai dari kita memilih kamera DSLR sebagai kamera pilihan kerana ia mudah dikendalikan dan boleh menggambarkan kreativiti dan emosi anda kepada imej yang dirakamkan. Namun memiliki kamera DSLR tidak semestinya menjamin imej yang dirakamkan adalah menarik dan sempurna. Jadi, apakah panduan yang boleh kita amalkan untuk memaksimakan penghasilan rakaman imej kita adalah terbaik dan memenuhi kehendak anda setiap kali.

1. Ringkas
Ringkaskan rakaman imej anda. Zoom kepada bahagian imej yang menjadi keutamaan anda. Tinggalkan bahagian lain yang tidak penting atau kaburkan dengan teknik bokeh.

2. Rule of Thirds
Amalkan Rule of Thirds. Biarkan subjek anda berada pada bahagian yang sesuai terutama jika ia bergerak. Biar subjek anda berinteraksi dengan  subjek lain tetapi didalam frame yang berbeza.

3. Bentuk dan Garisan
Masukkan gambaran garisan lurus didalam imej jika perlu seperti jalanraya, pagar dan sebagainya dari satu sudut berbeza. Jangan jadikannya satu imej kaku dari sudut hadapan sahaja tanpa makna. Begitu juga dengan bentuk imej seperti pokok, ranting, awan dan sebagainya.

4. Titik Pandangan
Masukkan ciri-ciri rakaman yang selaras dengan subjek anda. Elakkan rakaman anda dari atas kecuali perlu. Jika subjek anda berada dalam keadaan duduk, duduk bersama mereka. Penggunaan tripod amat penting untuk tujuan ini. Mempunyai kamera DSLR bukan bermakna anda boleh culaS dari merakamkan gambar anda pada posisi kesukaan anda sahaja.

5. Keseimbangan
Pilih subjek yang menjadi dominan dan susun supaya setiap darinya saling berinteraksi dengan sekata. Ia akan membolehkan imej anda memberi gambaran keseimbangan atau stimulasi kepada mata. Walaupun begitu, terdapat juga gaya susunan yang tidak seimbang mempunyai stimulasi yang lebih baik bergantung kepada tona warna dan kontras.

6. Framing
Anda boleh gunakan tingkap rumah anda untuk merakamkan imej luar dengan menarik. Begitu juga, gunakan sumber sekeliling seperti bangunan, pagar, tangki dan sebagainya untuk merakamkan subjek lain. Contohnya gambaran seorang yang berehat ditaman dirakamkan dari sudut celahan dahan pokok.

7. Fotografi Dalaman
Gunakan sebaik mungkin pencahayaan semulajadi dari luar. Lupakan sejenak penggunaan Flash dari kamera anda kerana cahaya semulajadi dapat memberikan keseimbangan dan pertalian yang sempurna diantara subjek. Bermain dengan cahaya semulajadi adalah lebih baik dari cahaya flash yang terlalu keras.

8. Pengubahsuaian Kamera
Anda perlu biasa dengan pengubahsuaian kepada kelengkapan kamera anda. Jangan terlalu bergantung kepada mode Auto sahaja kerana ia seperti memberi ikan kepada anda tetapi bukan alat untuk memancing. Belajarlah mengenali setting asas kamera anda seperti aperture, iso, shutter dan sebagainya. Aperture mengawal kemasukan cahaya, shutter speed mengawal jangkamasa cahaya menyentuh imej yang dirakamkan dan iso speed mengawal sensitiviti kekaburan atau ketajaman imej.

9. Lensa dan Penapis
Gunakan sebaik mungkin lensa terbaik yang boleh anda miliki. Begitu juga penapis cahaya yang dapat memberikan rakam imej anda nampak sempurna dan semulajadi. Guna lensa yang sesuai pada keadaan yang bersesuaian dan bukan sebaliknya. Melainkan tujuan anda merakamkan imej dari aspek keganjilan, peraturan ini boleh diabaikan. Lensa makro adalah untuk tujuan merakamkan subjek anda dari jarak paling dekat, lensa wide-angle untuk merakamkan lanskap atau senario yang luas dan lensa telephoto untuk merakamkan subjek dari jarak jauh yang anda tidak boleh dekati.

10. Apliklasi Imejan
Guna aplikasi memproses atau mengedit imej rakaman anda yang bersesuaian. Disini anda perlu mempunyai kemahiran didalam mempelajari semua perkara atau tools yang terdapat. Namun, sebaiknya rakamkan gambar anda dengan sempurna adalah lebih baik dari terpaksa bergantung kepada aplikasi imejan untuk memperbaikinya. Aplikasi ini termasuklan Adobe Photoshop, Lighroom, Apples iPhoto, Corel Paint Shop Pro, Google Picasa, Lvies, Photoscape dan sebagainya.

11. Rajin
Mengapa anda perlu rajin? Jika anda memiliki kamera DSLR berharga lebih dari RM5000 dan amat berbangga dengannya tetapi gambar yang anda rakamkan setaraf dengan jurufoto yang menggunakan kamera telefon bimbit, anda sememangnya malas. Menjadi seorang jurufoto yang baik, sifat utama adalah perlu rajin mendekati subjek anda. Jangan terlalu bergantung kepada lensa telephoto. Rajin dalam membuat pengubahsuaian setting kamera untuk imej yang terbaik. Rajin melakukan pengeditan imej jika perlu dengan aplikasi imejan. Rajin mengambil peluang dengan sumber sekeliling untuk merakamkan imej anda. Barulah imej yang anda rakamkan akan menjadi sebutan ramai sebagaimana kamera DSLR anda yang mahal.

12. Album Atas Talian
Jika anda perlu tempat simpanan gambar dan pada masa yang sama berkongsi dengan rakan-rakan, gunalah album atas talian seperti picasa, flickr dan sebagainya. Tetapi anda perlu bersiap sedia dengan komen yang kurang enak dari rakan atau jurufoto pro. Tetapi anggaplah ia sebagai pembelajaran dan sabar. Jangan sesekali menganggap dengan hanya berpuluh gambar yang anda rakamkan, anda sudah layak digelar pro kerana jurufoto pro mempunyai puluhan ribu gambar dan setiap satu darinya mempunyai keunikan tersendiri.

Anda masih ingin menjadi seorang jurufoto setelah membaca panduan-panduan diatas? Itu hanya sebahagian kecil yang anda perlu amalkan dan anda perlu belajar dan terus belajar. Jika ya, teruskan minat anda.

0 comments:

There was an error in this gadget
 

Copyright © 2010 ShutterPage.Blogspot.com All Rights Reserved

Design by Dzignine, Distributed by Blogger Blog Templates