Panduan Untuk Membeli Kamera Digital dan Peralatannya

Pada masa kini, pasaran dipenuhi dengan pelbagai jenis kamera digital hingga menyebabkan terdapat individu yang terkeliru apabila ingin membuat pembelian. Para pengeluar kamera berlumba-lumba bersaing untuk memikat pengguna dengan pelbagai jenis kamera berbentuk kompak hinggalah DSLR yang boleh mencapai ribuan ringgit. Jika anda salah seorang pengguna yang berhajat untuk mendapatkan kamera digital, ikuti langkah-langkah berikut :

1. Pastinya, anda perlu bertanya diri anda sendiri, berapakah bajet yang boleh anda sediakan atau ingin belanjakan untuk kamera anda. Jangan sesekali berbelanja mengikut kemahuan yang tidak dirancang kerana membeli kamera dan peralatannya memerlukan perancangan teliti. Anda perlulah memastikan samada anda perlu mendapatkan kamera digital anda dalam bentuk set yang lengkap atau mendapatkan peralatan kamera secara individu. Ia akan mempengaruhi jumah baget yang anda bersedia untuk belanjakan dalam satu masa.

2. Bagaimana dengan pengetahuan anda mengenai dunia kamera? Adakah anda seorang yang baru mengenali dunia kamera atau mempunyai pengetahuan dan pengalaman mengendalikan kamera. Sudah pasti faktor ini perlu diambil kira apabila anda ingin mendapatkan peralatan kamera yang dikehendaki. Jika anda baru mengenali dunia kamera, memadai jika anda mendapatkan kamera digital bercirikan 'point & shoot' kerana ia tidak memerlukan anda untuk mengubahsuai tetapan. Tetapi jika anda seorang yang serius dan ingin melakukan perubahan tetapan mengikut kehendak sendiri, sudah pasti anda perlu mendapatkan kamera yang dilengkapi keperluan tersebut seperti DSLR.

3. Mengapa anda perlu mendapatkan kamera digital tersebut? Adakah kerana anda terikut-ikut dengan rakan atau ingin mengambil gambar sepertimana yang anda lihat didalam laman web tertentu. Apapun alasan anda, pastikan pembelian kamera anda tidak mendatangkan satu pelaburan yang merugikan. Ini adalah kerana, ramai yang ingin mendapatkan kamera digital pada mulanya begitu bersemangat untuk mengambil gambar tetapi lama kelamaan, kamera tersebut ditinggalkan kerana mengikut musim, gagal menguasai teknik mengambil gambar yang baik, berubah kepada hobi baru atau merasa bosan apabila gambar yang dirakamkan gagal mendapat komen yang diharapkan.

4. Pertimbangkan juga, apakah sebenarnya yang anda ingin rakamkan dengan kamera anda? Adakah anda memiliki minat tertentu terhadap sesuatu subjek atau masih tidak pasti skop yang anda ingin rakamkan. Jika anda sekadar ingin merakamkan gambar keluarga, haiwan peliharaan atau berbentuk personal, kamera kompak atau kamera telefon sudah memadai dan lebih murah. Tetapi jika anda memerlukan kamera untuk tujuan tertentu seperti komersil atau berkaitan kerja anda, pastinya anda perlu mendapatkan kamera yang lebih kompleks dan bermutu.

5. Dapatkan pandangan atau ulasan mengenai kamera yang ingin perolehi dari sumber-sumber yang profesional. Jangan terlalu berharap dengan sumber dari jurujual yang hanya mementingkan jualan semata-mata. Dapatkan ulasan dari jurufoto profesional seperti yang terdapat didalam Internet atau pandangan rakan anda yang telah menggunakan kamera digital. Tidak rugi anda membuat perbandingan diantara jenama kerana dari situ anda boleh memastikan pembelian kamera digital anda tidak akan merugikan.

6. Jangan terlalu asyik atau terikut-ikut dengan trend. Anda pasti akan kecewa kerana kebiasaannya kamera digital yang anda perolehi dengan cara ini selalunya gagal memberi anda kepuasan didalam gambar yang anda rakamkan. Dapatkan kamera yang boleh memberikan nilai terbaik kepada penghasilan gambar anda dan bukannya sekadar pujian betapa cantiknya kamera anda dari rakan-rakan.

Pertimbangkan sebaik-baiknya sebelum anda membuat pembelian kerana ia akan memberi impak kepada diri anda. Bagaimana anda akan menghasilkan gambar terbaik jika anda diselubungi dengan kekecewaan anda terhadap kamera digital anda atau asyik memikirkan hutang yang besar yang perlu ditanggung kerana pembelian kamera tersebut. Yang pasti, dapatkan kamera digital yang membolehkan anda merakamkan gambar dengan mudah, cepat dan mempunyai nilai yang terbaik.

0 comments:

There was an error in this gadget
 

Copyright © 2010 ShutterPage.Blogspot.com All Rights Reserved

Design by Dzignine, Distributed by Blogger Blog Templates